BERITA KCS REDHA

Apa orang kata fasal KCS...apa pula kita kata fasal KCS...macam-macam orang kata...



Thursday, October 18, 2012

PAS VS KCS... Betulkah......

17 Oktober 2012
Primula Beach Hotel.. Kuala Terengganu
Catatan: Mohd Asri Redha



Pagi tadi semasa saya dalam perjalanan dari Alor Setar ke Kuala Terengganu untuk menghadiri Program Peningkatan Kerjaya & Sukan Pegawai Tadbir Negeri, saya sempat membelek-belek akhbar Utusan Malaysia…. Dalam dok belek-belek saya terjumpa satu artikel khas yang mana penulisnya tak asing lagi dalam menulis isu-isu sensasi seperti tajuk yang saya baca ini.. Tajuknya ‘Pas lwn KCS: Kedah dilanda krisis pentadbiran kronik’… Menarik tajuk ini… bagi orang politik ini tentunya perlu dibaca sampai habis nak dengar apa kata penulis ini dan apa konklusinya..Bagi yang tak berminat politikpun dah mula jenguk-jenguk tengok apa dah jadi pada pentadbiran negeri Kedah ini. Selepas inipun saya rasa para blogger juga pastinya ada ulasannya…

Sebelum inipun ada dikeluarkan artikel berkenaan KCS, juga oleh pengarang yang sama tapi taklah sensasi sangat, tapi yang ini agak keterlaluan yang mana saya rasa sumber dapatan maklumatnya entah dari mana-mana… adakah betul atau tidak. Rasanya ada juga maklumat yang diterbitkan itu masih lagi dalam kategori rahsia, tapi dikeluarkan satu-satu dalam rencana. Pada saya tentunya ada dikalangan orang dalam yang menjadi pemberi maklumat tetap kepada penulis ini. Atas apa tujuan dan atas apa sebab hanya individu itu sahaja yang mengetahuinya. Walau bagaimanapun perkara ini akan berterusan selagi hasrat dan tujuan tidak tercapai. Sebagai contoh mesyuarat EXCO pada 2.10.2012 telah diceritakan oleh penulis satu persatu apa yang dibincangkan…. Hebat juga penulis ini mendapat maklumat-maklumat perbincangan EXCO. Saya sendiri walaupun mempunyai akses melalui rakan2 yang ada pun tidak mungkin dapat maklumat tersebut, kerana segala yang dibincangkan adalah rahsia, rahsia tetap rahsia walaupun kawan. Hanya keputusan-keputusan rasmi tertentu sahaja yang akan dikeluarkan secara rasmi melalui pejabat MMK.

antara keratan-keratan akhbar berhubung kemelut
pertukaran Pegawai Daerah Kubang Pasu/ YDP MDKP
yang menjadi tajuk rencana penulis tersebut...................
Sebab itu saya terasa juga nak sembang-sembang juga berkenaan isu yang dibangkitkan itu. Bila terbitnya artikel seperti ini rasanya satu Malaysia sudah tahu… Ianya bukan dimasukkan dalam ruangan wilayah… Jadi tentunya rakan PTN dari Johor, Kelantan dan Terengganu tahu isu ini dan tentunya juga rakan-rakan dari kalangan pegawai Persekutuan juga tahu pergolakan yang dikatakan berlaku didalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah, walaupun sebenarnya tidak ada apa pun. Kalau tak diulas balik tentunya pada pandangan umum atau persepsi orang ramai sudah pasti perkara yang ditulisnya itu betul 100%.... Saya tidak pastilah samada ada respons dari 'sapa-sapa' berhubung artikel itu dan isu-isu asal yang berkaitan dengan penolakan seluruh ahli-ahli majlis PBT kalangan politik terhadap YB SUK sekarang ini… namun saya nak beri juga sedikit pandangan saya berhubung artikel itu.

Apakah sebenarnya hasrat yang tersirat oleh penulis ini berkaitan rencana yang ditulisnya.. Ini yang menjadi tandatanya. Adakah benar ia menulis atas tanggungjawabnya sebagai seorang penulis yang ingin menyatakan kebenaran atau beliau menulis atas dorongan seseorang. Ini yang menjadi tandatanya. Walau bagaimanapun saya rasa beliau bertanggungjawab atas apa yang ditulisnya dan tentunya apa yang ditulisnya itu adalah benar dan shahih. Sebagai penulis yang bertanggungjawab fakta yang dinyatakan itu kenalah benar. Makanya kalau hanya sekadar dengar cakap dan dengar-dengar sahaja belum tentu ianya benar. Kalau tidak benar maka itulah yang dinamakan fitnah dan sebagai seorang Islam kita tahu akan hukum hakamnya memfitnah seseorang. Fitnah yang dibuat tidak akan dirasai sakitnya sekarang.. sebab itu orang tidak heran buat fitnah sana sini,   tapi tunggulah hukum Tuhan nanti.

Oklah… panjang pula intro saya ni…… tak pa biar ia panjang sikit.. barulah dia lancar sikit perjalanannya. Nii terus nak ‘pederas’ saja enjin baru pun boleh lingkup….

Apakah isu sebenarnya yang dikatakan punca kepada pergolakan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah ini… Sebenarnya ia hanya bermula akibat dari pertukaran Pegawai Daerah Kubang Pasu/Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu Tuan Haji Mohd Fisol ke Daerah Kuala Muda sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda. Tempat beliau digantikan pula oleh Pegawai Daerah Kuala Muda iaitu Dato’ Abdul Aziz Abdul Ghani.. Bagi saya pertukaran-pertukaran sebegitu biasalah .. sebagai pegawai kerajaan sememangnya kita tidak dapat lari dari menerima hakikat ditukarkan tak kira sesingkat manapun kita bertugas disesuatu tempat. Saya sendiri pernah bertugas hanya 3 bulan sahaja di UPENk dan di daerah Bandar Baharu, 6 bulan sahaja di Daerah Yan dan tidak sampai setahunpun bertugas di Pejabat Tanah Kuala Muda dan Kota Setar. Jadi apa sangat nak heran tukar sana tukar sini. Itu kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri. Beliau tukarkan seseorang KCS tentunya ada pertimbangan, perhitungan dan kriteria-kriteria yang diperlukan, selain dari kelayakan, pengalaman, keserasian, dan hal-hal lain yang mungkin hanya SUK sahaja mengetahuinya. .. Jadi biarlah dia membuat keputusan … Nanti kalau pegawai-pegawai bawahan yang bila sudah duduk ditempat teratas tersebut , maka mereka juga akan buat perkara yang sama. Kalau nak tukar pun nak kena tanya pegawai dulu… susahlah…..

Yang berlaku di Kubang Pasu ni agak pelik sikit. Apa masalahnya sayapun tak tau. Tiba-tiba sahaja ada bantahan tak mahu Tn Hj Ahmad Fisol ditukarkan. Malangnya bantahan itu tidak diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dan SUK. Maka bermula dari situlah berlakunya siri-siri episode penentangan samada ditunjukkan melalui pemasangan sepanduk-sepanduk, kain rentang, berdemonstrasi didepan pasaraya, depan Wisma Darul Aman yang menuntut supaya YB SUK meletakkan jawatan dan kenyataan akhbar. Tidak cukup dengan itu yang pada mulanya hanya melibatkan Ahli Majlis MDKP sekarang telah merebak kepada semua Ahli Majlis Politik disemua PBT Negeri Kedah DA. Mungkin juga siri-siri aktiviti-aktiviti seumpama itu akan berterusan dan akan lebih hebat sekiranya apa yang dituntut itu tidak mendapat perhatian pentadbiran kerajaan Negeri Kedah… Dalam akhbar dan blog-blog politik yang bersepah ada tu, cerita sakanlah fasal isu ini dan macam-macam pandangan dan kata-mengata dikeluarkan. Pembangkang (BN) pula tunggu apa lagi.. tumpang sekaki ulas dan beri pandangan mereka.. Bagi mereka ini peluang terbaik dalam politik apatah lagi dah dekat sangat dengan PRU

Kita tunggu dan lihatlah sahaja apa yang akan berlaku seterusnya. Saya yang hanya seorang pegawai KCS yang kerdil ini tidak mampu untuk berbuat apa-apa hanya sekadar berdoa agar segala kemelut yang berlaku ini dapat diselesaikan dengan segera disamping sikit-sikit tulis dan beri pandangan meneutralkan keadaan. Sedikit sebanyak isu yang berlaku ini telah menjejaskan imej KCS sendiri dimana saya adalah seorang ahlinya.

Ingatkan isu ini hanya berkisar antara Ahli Majlis PBT dengan Dato’ Hj Rasli sahaja. Bila terbit artikel oleh penulis  ini, ada cerita lain pula yang dikaitkan dengan isu ini dalam Kerajaan Negeri yang melibatkan YAB Menteri Besar Kedah, Ahli-Ahli EXCO dan Pegawai-Pegawai Kanan KCS sendiri. Ini mai kot mana pula. Sudah lah isu tunjuk perasaan ahli majlis PBT telah memalitkan imej yang tidak baik pada pentadbiran negeri , ini ditambah pula dengan rencana tersebut yang menunjukkan seolah-olah pentadbiran kerajaan negeri Kedah berada didalam keadaan kucar kacir dan berlaku krisis yang teruk antara MB dengan Ahli EXCO nya dan antara Kerajaan Negeri dengan KCS serta pergolakan antara Pegawai-Pegawai KCS itu sendiri.

Saya amat terkilan akan rencana yang ditulis oleh saudara kita ini. Cukuplah apa yang berlaku itu. Janganlah dipanaskan lagi dengan isu-isu yang rasa tiada kaitan dengan isu sebenar. Rencana itu sebenarnya telah melaga-lagakan hubungan baik antara pegawai KCS sendiri dan melaga-lagakan MB dan Ahli-AHli EXCOnya. Kalau tidak tahu hujung pangkalnya tidak perlulah membuat tafsiran tersendiri dan kemudian meluahkannya melalui media perdana. Apabila kita merosakkan kesatuan organisasi tertentu dan menimbulkan kebencian antara satu sama lain ianya lebih membawa kepada keburukan bukan kebaikan. Bagi penulis mungkin itu adalah kepuasan baginya kerana berjaya menimbulkan porak poranda dikalangan pemimpin dan ahli yang ada.. tapi seronokkah berbuat begitu . Adalah lebih baik bagi penulis menerbitkan artikel yang menunjukkan kebaikan apa yang dibuat oleh pemimpin dan tentunya keadaan akan lebih harmoni. Ataupun beliau memberi idea dan pandangan bernas bagaimana untuk mengatasi kemelut yang berlaku untuk kebaikan semua rakyat. Ini tidak .. beliau menambahkan lagi minyak terhadap bara yang membara. Maka akan semakin terbakarlah bara itu. Mengapakah kita suka sangat bagi orang susah, bagi porak peranda, bagi berkelahi, bagi fitnah, bagi susah hati dan segala macam susah-susah segalanya… Selepas bagi semua orang susah.. mereka akan tinggalkan tergantung begitu sahaja….. maka bertambah susah lagi keadaaanya… Rasa nya itulah yang dimahukan oleh penulis-penulis seperti itu.

Saya berharap agar penulis tersebut tidaklah berbuat sesuatu cerita yang belum tentu benar yang membawa kepada berlakunya kelonggaran kesatuan sesebuah institusi seperti KCS ini. Sebab semua orang akan susah segalanya bila persepsi pengarang itu diterima 100 %.

Dari satu segi saya berterima kasih pada penulis ini kerana ia ada juga menyatakan 'KCS adalah unik dan ia sepatutnya dipelihara selama-lamanya' yang ni saya sokong sangat-sangat. Sekurang-kurangnya orang tau siapa itu KCS. Yang tak syoknya isi kandungan artikelnya itu. Betulkah Dato Puat idam2kan sangat jawatan SUK itu, betulkah  disebalik tunjuk perasaan itu  Dato' Puat memainkan peranannya,  betulkah Dato’ Amiruddin juga bercita-cita tinggi nak jadi Menteri Besar hingga sanggup untuk mencantas Dato' Ir Pakhrulrazi, betulkah ada unsur nepotisme dalam hal hubungan Ustaz Azizan dengan Dato Puat dan juga Isteri Tn Hj Mohd Fisol, siapakah pula puak yang mahu menjatuhkan SUK, siapakah pula puak yang mahu menaikkan SUK, apa kaitannya pula penulis suruh UMNO sokong segera KCS sekarang ini…Adakah penulis ini orang kuat UMNO.. atau apa-apaan lagi. Semua persoalan-persoalan ini sebenarnya hanyalah pandangan dan persepsi sahaja berasaskan kepada maklumat dan pemerhatian seseorang. Ianya bukan pandangan umum. Kemungkinan ini ianya akan jadi pandangan dan persepsi umum yang orang akan kata itu ada kebenarannya jika selalu diulang-ulangkan berterusan. Jawab menjawab sudah tidak berguna lagi dan kita lebih banyak menghabiskan masa dengan konflik yang diada-adakan ini dan tidak berkesudahan. Polemik ini dan jawab menjawab sudah tidak bermakna lagi.

Sebenarnya banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan oleh semua Pegawai Tadbir Negeri Kedah ini dan begitu juga MB dan pasukan EXCOnya itu. Daripada memikirkan perkara yang tidak memberi apa-apa faedah pada rakyat lebih baik ditumpukan perhatian pada kerja harian memberi perkhidmatan kepada rakyat yang berlambak-lambak kat pejabat. Setiap KCS sudah ada jawatan masing-masing dan tanggungjawab masing-masing. Marilah setakat yang termampu kita buat apa yang patut buat untuk memberi perkhidmatan kita kepada rakyat , agama kita , bangsa kita, negeri kita dan negara kita.

Pegawai Tadbir Negeri sepatutnya tidak wajar menyebelahi mana-mana parti politik dalam urusan pentadbiran harian. PTN kena patuh kepada arahan dan dasar kerajaan yang memerentah selagi ianya tidak bertentangan dengan agama dan perlembagaan persekutuan dan negeri. Uniknya ialah KCS adalah dibawah naungan KBDYM Tuanku Sultan Kedah. Jadi KCS tidak perlu berpaut pada orang politik untuk tujuan pekerjaan harian kita. Ataupun tidak perlu berpaut pada orang politik untuk menjaga kepentingan personal mereka. Orang politik datang dan pergi, tapi KCS tetap disitu.

Sebab itu sebelum inipun saya pernah menyatakan bahawa PTN tidak boleh keterlaluan sangat dalam menyatakan sokongan pada parti-parti tertentu kerana nanti pegawai akan susah buat kerja bila parti yang berkuasa , sudah tidak lagi berkuasa. Jadi janganlah hairan sangat akan ada kalangan pegawai tidak mahu patuh kepada kerajaan yang baru memerentah kerana masih dibawah pengaruh parti yang sudah tidak lagi berkuasa. Maka akan berlakulah konflik antara pegawai dengan kerajaan yang memerentah dan juga akan berlaku sabotaj sekali-sekala dalam program anjuran kerajaan yang memerentah secara tidak langsung. Harus diingat parti pembangkang yang gagal memerentah kerajaan negeri sudah semestinya berusaha pelbagai cara dan pendekatan untuk mengambil alih tampuk pemerentahan dalam PRU nanti. Kalau Pakatan Rakyat sebagai pembangkangpun akan buat pelbagai usaha yang serupa untuk mendapatkan kembali kuasa memerentah. Bagi orang berpolitik itu adalah biasa dan merupakan antara strategi yang digunapakai. Pandangan dan pemikiran mereka kadang-kadang hanya untuk kegunaan semasa sahaja. Mungkin baik pada orang ini tapi pada pemimpin seterusnya. dan tak mahu pakai pulak. Dulu kawan tidur sebantal sekarang sudah jadi musuh ketat,  dulu bangkang sekarang sokong dan sebaliknya. Semuanya hanya ikut citarasa seseorang pemimpin itu.. Sebab itu dasar sentiasa berubah-ubah bila berlaku perubahan pucuk pimpinan seperti di Kedah, walaupun hanya berubah Menteri Besar dalam kelompok parti yang sama. Sebab itu saya kata jangan taksub sangat pada pimpinan politik yang ada.

Begitu juga kadangkala kuasa dan pengaruh parti tertentu diperlukan untuk tujuan kepentingan diri semasa bertugas dan demi melaksanakan kerja-kerja yang melangkaui batas-batas tata-susila moral dan juga memastikan supaya tindakan-tindakan memperelokkan disiplin tidak diambil terhadap individu-individu tertentu dalam pentadbiran awam. Saya berharap perkara ini tidak ada dalam KCS dan saya masih berbaik sangka terhadap semua anggota KCS. Saya sentiasa memperingatkan pada diri saya dan rakan2 bahawasanya kita niat bekerja adalah kerana ibadat. Buatlah apa kerjapun dan niatkan nya sebagai ibadat kita kepada Allah SWT dan apa yang kita lakukan didunia ini akan diambil kira oleh Allah SWT, dosa dan pahalanya… Sudah tentu kalau kita niatkannya sebagai ibadat, takkanlah kita sanggup melakukan sesuatu yang diluar batasan agama dan moral. Kalau ingat yang itu, tak akan adalah fitnah menfitnah, kata mengata, tuduh menuduh, caci mencaci dan segala macam perkara yang negative.

Jadi kenapalah kita gundah gulana dengan segala hal dunia yang tidak berkaitan dan hanya sementara sahaja itu…. Mari kita bekerja sepenuh jiwa raga kita untuk kebaikan dunia dan akhirat… senangkan begitu… jumpa lagi...

OK...kita lupa dululah cerita tadi.. Saya mau pergi training ni ... sebab saya masuk tanding sukan boling padang, pingpong dan bola tampar. Pertandingan sukan antara PTN Kelantan, PTN Terengganu, PTN Johor dan PTN Kedah tanpa mengambilkira pembangkang atau penyokong.. PTN 2 negeri dibawah Pakatan Rakyat  dan 2 negeri dibawah BN. Namun ke empat2 PTN ini masih mampu berkerjasama dan berpakat tanpa masalah.   Waduuh banyak juga tu kena main.. umurpun sudah lewat ni.... masih mahu main juga..  tak apalah kalah menang bukan tujuan.. hanya sekadar aktiviti sukan yang menyihatkan badan dan juga menjalinkan hubungan mesra sesama rakan-rakan KCS terutama adik-adik KCS yang saya sayangi semuanya itu.. tapi bila lawan tu nak menang juga noo.. tolong doakan..

Sebenarnya blog ini sengaja saya tidak benarkan dikomen.. kerana pernah saya buka boleh dikomen tapi apa yang saya terima komen itu tidak berkaitan yang baik-baik tapi banyak yang buruk2 belaka, menunjukkan sudah ramai orang awam yang mengikuti perkembangan KCS ini.. Apa- apa perkara tidak elok berkenaan KCS yang mereka dapat maklumatdari akhbar, blog, sumber dalaman, rakan-rakan kcs sendiri dan sebagainya.. maka blog sahajalah menjadi tempat melepaskan geram dengan kata-kata yang tidak enak didengar.. kerana tiada siapa yang boleh menahan diri dari menulis apa yang terbuku dihati… maka sebagai KCS saya sentiasa memperingatkan diri saya, berhati-hatilah dalam membuat sesuatu, agar tidak menjadi tohmahan anak buah kita atau oleh orang awam apatah lagi bagi kalangan yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan imej KCS itu sendiri.

Friday, October 12, 2012

KEMURUNGAN ........

Catatan Aktiviti Dan Ulasan Saya : Klik saja kat situ...

http://semangatjatimbas.blogspot.com/2012/10/stress-jangan-ambil-mudah.html